Cinta

Assalamualaikum. Lama dah tak update blog ni. Berhabuk dan berdebu blog ni jadinya. Apa yang nak diceritakan ya. Okay lah, rasanya perbincangan tentang cinta yang boleh menarik perhatian hampir semua orang untuk membaca blogini. Kebiasaannya, saya gemar menulis blog berkenaan diri saya dan sejarah hidup saya, tapi kali ini, saya ingin berkongsi pendapat dan pemahaman tentang sesuatu perkara yang dinamakan... CINTA.

Ya, memang kita semua boleh menyebutnya, dan mengejanya dengan betul. Tapi apa maksud sebenarnya perkataan cinta ini. Hebat manakah dia? Mengapa orang sanggup bergadai harta, malahan nyawa deminya? Apa keuntungan yang boleh diperolehi dari cinta? Banyak lagi persoalan yang boleh diusulkan jika ianya berkenaan dengan cinta.  Tapi saya berminat dengan satu soalan yang diusulkan oleh seseorang kepada saya. Seringkali kita dengar istilah cinta sebenar. Tapi, bolehkan seseorang itu nyatakan apakah erti cinta sebenar? Adakah percintaan yang kita lalui sekarang adalah percintaan sebenar? Adakah cinta sebenar bermaksud jodoh yang sebenar? Yang telah ditakdirkan untuk kita? 

Cinta sebenar.  Semua daripada kita mencarinya tapi adakah kita faham apakah ertinya cinta sebenar.  Jika ditanya, berbagai definisi yang akan kita dengar.  Ada yang mendefinasi cinta sebenar ialah sesuatu yang kita perlu untuk hidup bahagia.  Ada pula cakap cinta yang sebenar tidak mengenal sempadan.  Selain itu, cinta sebenar didefinisikan sebagai sesuatu yang amat sukar digambarkan dengan kata. Apakah sebenarnya cinta yang sebenar?  Kenapa semua orang mencarinya?

Hadis sahih mengatakan..
“Dinikahi wanita itu kerana empat perkara iaitu kerana hartanya, keturunannya, kecantikkannya dan agamanya. Maka pilihlah dalam hal keagamaannya. Nescaya beruntunglah kedua-dua tanganmu.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)


Sesungguhnya cinta sebenar mendengar apa yang tidak diperkatakan, mengerti apa yang tidak dijelaskan sebab cinta tidak datang dari bibir mahupun dari lidah ataupun fikiran melainkan hati yang IKHLAS. Jadi, cukup la pendapat saya dalam istilah cinta. Takut mengundang bosan kalau membacanya. 

Sekarang, saya nak beralih kepada cara percintaan orang sekarang. Kalau diikutkan kepada kefahaman, bila kita bercinta, kita yang akan mendidik dan mengajar banyak perkara baru kepada pasangan kita. Sebagai contoh, dulu sewaktu kita single, jarang kita bermain mesej, atau call sesiapa dalam tempoh masa yang amat singkat. Tapi selepas bercinta, pantang saja terlewat membalas mesej seminit, sudah di call dan ditanya mengapa lewat membalas mesej. Jadi, dalam masa yang sama, kita telah mengajar pasangan kita supaya tepati masa untuk membalas dan menjadi..... LEMBU. Mengikut sahaja bila ditarik hidungnya. 

Pesanan teks pesanan ringkas ataupun SMS. Perlukah kita membalas setiap mesej yang dihantar dengan tempoh masa yang cepat? Diberikan contoh, ketika kita sedang memandu, dan pasangan kita menghantar mesej, perlukah kita membalasnya pada waktu itu juga? Jangan terkejut kerana perkara itu memang selalu terjadi sekarang. Apakah kemungkinan tragedi yang bakal berlaku? Anda pasti dapat meneka bukan? Mungkin perkara ini datangnya dari diri anda sendiri kerana, dalam kita bercinta, kita belajar dan mengajar. Mungkin anda sudah membiasakan pasangan anda untuk membalas teks dalam tempoh masa yang cepat dan apabila tidak dibalas, anda akan terus membuat panggilan sebagai tanda marah? Mungkin kan?

Saya bersetuju dengan kenyataan seseorang mengatakan, sepandai-pandai kita di dalam bidang ilmiah (Degree, Master, PHD) kita pasti akan bodoh dalam bidang bercinta. Kenapa? Kerana cinta hidup kita boleh berubah. Kerana cinta juga lah kita dapat tengok banyak bayi dicampak ke longkang, semak, tepi surau, tepi tong sampah. Ini dinamakan CINTA BODOH. 
Saya cuma ingin berkongsi pendapat dan kefahaman, bukannya mencari musuh. Kita semua pun masing-masing sudah besar panjang, tahu menilai mana baik dan buruk, tahu membezakan dosa dan pahala. Jangan disebabkan cinta, kita terpaksa mengorbankan banyak aspek penting dalam hidup kita. Biar kita dipanggil bodoh kerana meninggalkan pasangan kita atas sebab yang betul, daripada kita dipanggil bodoh kerana meninggalkan element-element penting dalam hidup kita untuk cinta seseorang yang masih belum tentu menjadi milik kita. Maafkan saya andai bahasa saya kasar, niat saya adalah untuk sama-sama berkongsi dan menilai diri kita sendiri di dalam dunia cinta.


Izzy

Genting Highland

   Hari ini pada tarikh 22 haribulan Oktober 2012, dapat juga aku naik ke Genting Highland. Setelah berbelas tahun tidak menjejakkan kaki ke situ, akhirnya tercapai juga niatku ini. Masih teringat lagi zaman kanak-kanakku dikala berumur seawal 12 tahun, aku sekeluarga naik ke puncak itu. Kali ini aku betul-betul bersungguh mahu naik ke sana kerana ingin melihatkan apakah perubahannya selama berbelas tahun itu. Kalau dulu, segala aktiviti rekreasi yang ingin ku cuba asyik dihalang oleh orang tuaku, kali ini mesti ku rasa pengalaman itu semua. Tiket untuk ke Genting Highland telah pun ku beli pada hari Jumaat.  Tiket untuk dua orang, aku bersama rakan bilikku, pakej pergi dan balik beserta permainan taman tema luar sepanjang hari. Sengaja aku membelinya seawal mungkin kerana aku tidak mahu membuat segala persiapan dalam saat-saat kecemasan. Setelah tiga hari menunggu, hari Isnin tiba jua. Malam sebelumnya, aku bertekad untuk tidur awal walaupun waktu tidurku kebiasaannya pada subuh menjelang pagi. Aku cuba memejamkan mata tetapi masih juga gagal untuk tidur lantas aku bangun ke meja kerjaku, ku capai ubat batuk yang masih berbaki itu. Setelah dua teguk ubat batuk itu ku telan, aku merebahkan semula badanku ke tempat tidur. Sekitar sejam lebih aku menunggu agar mata ini mengantuk, tetapi kesannya masih masa. Jam pun sudah menunjukkan pukul dua pagi. Alamak, esok pukul enam, aku mesti bangun untuk bersiap. Ini tidak boleh jadi, terus ku tenangkan fikiran, tutup mukaku dengan bantal dan terus...... Zzzzz...

   Krrinngggg~!! Telefon bimbitku menjerit mengejutkanku dari tidur. Dengan keadaan yang kusut masai dan serabut, aku bangun. Jam baru pukul enam, ah mungkin sempat lagi untuk lima minit. Rakan bilikku sudah pun siap mandi. Eh, ini tidak boleh jadi. Ku capaikan tuala yang tergantung terus menerpa ke bilik air untuk mandi. Selesai semua persiapan, aku pun bertolak dari rumah menuju ke stesen KTM Petaling. Pada awalnya inginku ambil bas menuju ke KL Sentral, tetapi apabila melihatkan kesesakan lalulintas jalan raya, membuatkan aku mengambil keputusan untuk menggunakan perkhidmatan keretapi. Setibanya di KL Sentral, aku menuju ke tempat menunggu bas. Jam menunjukkan pukul 7.45 pagi dan tiket kami adalah pada jam 8. Setelah naik ke dalam bas, aku pun melelapkan mata sebentar bagi memuaskan mataku yang masih kurasakan belum cukup tidur.

   Lebih kurang satu jam perjalanan, bas kami sampai ke destinasi bernama Genting Skyway. Di hentian ini, kami akan menaiki kenderaan yang dipanggil Gondola yang akan membawa kami naik ke atas. Di saat aku memijakkan kaki ke pelantar Gondola itu, jantungku berdegup pantas. Bagai nak gugur jantung dibuatnya bila melihat ke bawah. Perasaan yang pada awalnya takut bercampur seram, lama kelamaan menjadi seronok dan teruja. Perasaan ku melonjak apabila awan melintasi Gondola kami. Setelah 20 minit berada di dalam Gondola itu, aku pun sampai ke puncak Genting Highland, Kota penuh keriangan. Aku berlari seolah-olah kanak-kanak kecil yang baru sampai ke FunFair. Perkara pertama yang harus ku buat adalah mencuba aktiviti-aktiviti lasak yang ada disediakan di situ. Aku berjalan bersama rakanku mencari aktiviti mana yang harus dimulakan dulu. Ya, aku sudah siap memilih dan aktiviti Flying Coaster menjadi aktiviti pertama aku pada waktu itu.


   Setelah beberapa minit menunggu, sampai juga giliran aku dan rakanku naik ke pelantar terbang itu. Gemuruh, cemas, risau, takut semuanya bercampur menjadi perasaan yang rojak. Saat besi di lekatkan bagi menghalang penumpang dari jatuh, aku sudah pun menggigil. Perlahan-lahan pelantar itu naik keatas dan akhirnya menjunam laju membelah angin. Kesemua penumpang menjerit bagai hilang akal termasuk aku yang hanya mampu mengeluarkan bunyi seperti pondan yang lemas di sungai. Kelakar, seronok, teruja selepas menaiki permainan itu dan rakanku mengajak pergi ke Roller Coaster. Situasi yang sama juga berlaku yang mana pengakhirannya, tekakku terasa sakit kerana menjerit yang teramat sangat. Boating boat, Keretapi Pirate, Monorail dan boleh dikatakan hampir semuanya dapat ku rasa. Tetapi jam 4 petang, suasana bertukar hujan yang mana aku terpaksa memilih untuk bermain permainan dalam. Aku lantas menuju ke kompleks untuk mencari apakah permainan yang boleh aku sertai.

   Bermacam-macam aktiviti yang telah aku sertai sehinggakan ku terasa tumit, lutut dan betis ku kejang kerana berjalan tanpa henti ke sana dan kemari. Jam sudah pun menunjukkan pukul 6.30 petang. Selepas habis makan di McD, aku dan rakanku menuju ke Genting Skyway di mana Gondola kami sedang setia menanti. Selepas turun ke Stesen Genting Skyway, tubuhku terasa sangat lemah, letih kerana seronok menghabiskan sepenuh masa aku di kota keriangan itu. Pukul 8.30 malam, bas yang ditugaskan untuk mengambil penumpang tiba di perkarangan stesen dan kami mula meninggalkan Kota itu dengan begitu banyak kenangan. Aku telah pun memasang niat dimana aku ingin pergi semula ke sini bersama orang yang aku sayang.

Izzy

Jiwa Kacau

Jam dah menunjukkan pukul 1.25 pagi. Kebiasaannya aku tidur lewat kerana aku bekerja dengan diri sendiri. Boleh bangun dan tidur pada jam berapa yang aku mahu. Tapi malam ini aku terasa seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena dengan perasaan aku. Sudah dua minggu cara layanannya berbeza terhadap diriku. Kalau kebiasaannya, selalu bermesej dan call setiap hari. Tetapi akhir-akhir ini, telah mulai berkurangan. Aku tahu, mungkin disebabkan kes salah faham dengannya dan mungkin juga dia terlalu sibuk dengan kerja. Ah, tidak mungkin kerana kerja kerana sebelum ini, semuanya berjalan dengan elok. Nama gadis itu ialah Nor Azila Binti Abdul Latiff atau nama manjanya Zila. Berumur 23 tahun dan bekerja sebagai seorang kerani di syarikat persaraan Polis. Buah hati yang teramat aku sayang. Kami berkenalan melalui YM (Yahoo Messenger). Selepas beberapa bulan perkenalan, aku dan Zila telah pun menjalinkan perhubungan yang dinamakan CINTA. Suka sama suka dan saling sayang menyayangi. Masih lagi aku teringat hari Raya Aidilfitri tahun ini di mana aku telah datang berjumpa dengan seluruh keluarganya. Waktu tu Allah S.W.T sahaja yang tahu bagaimana seronok bercampur seramnya perasaan aku. Tapi tidak mengapa kerana niat aku menjalinkan hubungannya bukan sekadar menanam tebu dipinggir bibir. Kalau sudah ditetapkan jodoh aku dengan Zila, aku terima dia dengan tangan terbuka.

Pada hari Ahad bersamaan 6 Oktober 2012, aku bersama Zila keluar berjalan-jalan di kota Kuala Lumpur. Membeli barangan itu dan ini, menonton wayang dan menghabiskan masa bersama. Seperti biasa, Zila akan datang menjemputku di rumah. Ini kerana aku belum masih mampu untuk membeli kereta, jadi Zila lah yang akan mengambilku di rumah setiap kali kami ingin berjumpa. Selepas melabuhkan punggung di kerusi, Zila meminta agar aku menutup mata dan disuruh supaya jangan mengintai. Aku pun akur mengikut tanda setuju dan tanpa soal. Selepas seketika, dia meminta aku membuka mata dan sekuntum bunga ros dihulurkan kepadaku. Aku mencium bunga itu, wangi dan ucapan terima kasih aku lemparkan bertalu-talu kepadanya. Sepanjang perjalanan, aku genggam bunga ros itu kerana sangat seronok menerimanya dari buah hatiku sendiri. Belum pernah seumur hidupku terima bunga ros mekar.

Lebih kurang 20 minit perjalanan, kami sampai ke destinasi iaitu di Imbi Plaza. Setelah selesai meletakkan kereta di tempat letak kereta, aku dan Zila berjalan  menuju ke Berjaya Time Square. Sebelum masuk ke kompleks, aku menarik tangannya mengajaknya untuk makan tengah hari kerana perutku sudah pun berbunyi. Zila mengangguk tanda setuju dan kami terus ke tingkat 5 di kompleks itu. Selesai makan, aku dan Zila pergi menuju ke panggung wayang untuk membeli tiket bagi menonton cerita bertajuk Hantu Kapcai. Tergelak sakan aku dibuatnya di dalam panggung. Sangat seronok, apatah lagi yang tersayang turut gembira ketawa bersamaku. Tamat wayang itu kami berjalan dan 'window shopping' untuk telefon bimbit yang baru. Perancangan untuk membeli telefon bimbit Samsung Galaxy SIII sudah pun disemat di hati. Cuma menunggu masanya tiba sahaja. Zila menarik tanganku lagi berjalan untuk melihat tempat lain dan membeli barangan.

Sepanjang perjalanan di dalam kompleks itu, perutku tiba-tiba mula meminta agar diisi. Tetapi bukan lapar yang amat sangat, cuma mungkin disebabkan keletihan berjalan, perut yang sudah mulai kosong minta agar diisi sedikit. Aku mengajak Zila pergi membeli Ais Kacang kerana seleraku tertumpu ke sebuah gerai yang menjual Ais Kacang. Selesai menempah minuman itu, Zila berjalan ke gerai yang lain disusuli aku. Nafsu makanku melonjak-lonjak apabila terlihat Sizzling yang sedang ranum menggelegak. Ah, ketepikan soal sudah makan tadi, yang ini perlu ku jamah dan mesti diisi di perutku. Aku dan Zila makan bersama dan masing-masing kekenyangan kerana perut yang baru diisi dalam beberapa jam tadi telah diisi semula. Jam pun sudah kelihatan agak lewat dan aku mengajaknya pulang.

Sampai di persekitaran apartmentku, aku menunggu sebentar di dalam kereta bersamanya untuk berborak sebelum dia meluncur pulang ke rumah. Sedang kami bersembang, tiba-tiba adik angkatku yang bernama Wanie, telah menelefon. Belum sempat aku menjawabnya, dia telah meletakkan panggilan. Zila bertanya siapa, dan aku memberitahu tanpa berselindung bahawa Wanie yang memanggil. Zila memang sudah tahu yang aku mempunyai adik angkat. Tetapi malam itu, Zila menjadi agak cemburu dimana telefon bimbitku diminta untuk dilihat semua SMS. Aku tak teragak untuk memberikannya dan dia membelek setiap SMS aku bersama Wanie. Raut wajah yang pada mulanya senyum, lama-kelamaan bertukar hambar dan aku sudah yakin cemburunya sudah mula menular dalam diri. Aku akhirnya panik dan tanpa berfikir, terpacul persoalan yang ku anggarkan sangat bodoh diaju kepadanya. 'Sudah cemburu ke belum? Kalau belum, baca lah lagi.' Ah sudah... Aku betul-betul tak sengaja untuk berkata sedemikian. Mungkin tindakan refleks panik terhadap raut wajahnya itu.

Sebelum keadaan bertambah buruk, aku rampas telefon bimbitku dari tangannya supaya dia tidak lagi membakar sikap cemburu di hati. Tetapi tindakan aku itu disalah erti yang mana aku dianggap takut terbongkar rahsia. Aku jadi bertambah risau dengan situasi yang tegang itu, lantas aku menelefon Wanie bagi memuaskan hatinya. 'Hello! Wanie!' Panggilku dalam keadaan suara yang agak tegas. 'Ya abang, ada apa call Wanie?' Wanie menjawab perlahan. 'Wanie, abang ada bersama dengan Kak Zila sekarang. Tadi dia minta untuk membaca segala mesej kita berdua.' Bunyiku sedikit gemuruh. 'Eh, kenapa abang bagi? Nanti Kak Zila cemburu macam mana?' 'Abang memang sengaja biarkan supaya dia tidak akan rasa cemburu dengan hubungan kita tapi rupanya abang salah. Macam ini lah Wanie, lepas ini Wanie janganlah telefon abang dan SMS abang lagi. Abang akan padam nombor Wanie dan segala SMS Wanie.' Suaraku perlahan membuat keputusan terburu-buru. Wanie terdiam lantas panggilan itu putus. Selepas puas aku memujuk Zila, dia masih lagi berdiam diri. Aku menjadi keliru, serba salah yang teramat sangat. Jam kelihatan sudah pukul 1 pagi. Aku menjadi risau kerana keesokan harinya dia akan bekerja.

Tanpa membuang masa, aku mengambil keputusan untuk keluar dari kereta, dan pergi meninggalkannya. Bukan niatku untuk mengabaikannya. Tapi jika lebih lama aku menanti di situ dan terus memujuk, pasti Zila akan berkeras tidak mahu menjawab pertuturanku. Aku tinggalkan pesan supaya pulang dengan berhati-hati, dan beristighfar banyak-banyak. Aku melangkah dengan longlai dan sebak. Aku rasakan tindakan aku salah lantas aku kembali ke tempat letak kereta tadi. Zila telah balik. Aku kembali untuk pulang ke rumah. Aku tahu, aku lah yang bersalah dalam hal ini. Aku cuba membaikinya semula, tetapi Zila menutup telefon bimbitnya selama beberapa hari. Aku berada di dalam keadaan yang sangat risau dimana adakah dia selamat sampai ke rumah pada malam itu, apa khabarnya. dan semua persoalan tentang dirinya bermain dalam fikiran. Selepas tiga hari, Zila menjawab SMS ku. Berulang kali aku melafazkan minta maaf kepadanya dan dia masih menjawab dalam keadaan dingin. Sampai ke hari ini, setiap jawapan SMS atau panggilan darinya, amat dingin kepadaku. Aku sangat keliru. Jiwaku kacau dan tidak tenteram. Aku terlalu sayangkannya. Tidak sanggup aku kehilangan dirinya seperti mana aku kehilangan cintaku yang dulu. Aku masih lagi mencuba untuk menenangkan Zila dan memperbaiki hubungan ini. Masih lagi mencuba......

Izzy

Cinta Pertama


Semua orang mempunyai kenangan cinta pertama. Cinta yang akan dikenang sampai bila-bila kerana cinta pertama itu lah kasih sayang ikhlas yang pertama kita alami di zaman remaja. Tak terkecuali juga aku. Sedang runsing memikirkan segala masalah yang melanda , otak aku dengan tiba-tibanya teringatkan cinta pertama aku sewaktu zaman persekolahan dulu . Gadis yang sangat cantik, kelakar, dan manja . Namanya Ros Azlila Bte Yaakob atau nama timangannya Lila . Tinggal di Kampung Permatang, Kuala Selangor dan berlajar di sekolah yang sama denganku .

Kisah bermula pada tahun 2001 sewaktu aku mengikuti perkhemahan ke Gunung Angsi (Kalau tidak silap) Waktu itu aku baru berusia 16 tahun. Tak perlulah nak diceritakan segala apa aktiviti yang dilakukan oleh kumpulan kami . Kita terus beralih kepada waktu dimana bermulanya cinta pertama aku. Malam itu , aku telah diberi tugasan untuk berjaga bersama temanku sehingga tiba waktunya. Untuk mengisi masa lapang dan menghilangkan kebosananku, ku capai gitarku yang berada di dalam khemah dan lantas membawanya ke depan unggun api.

Pada malam itu , bintang yang berkelipan cukup banyak di angkasa. Tanpa berfikir panjang, aku pun terus memetik kod gitar lagu yang dinyanyikan oleh penyanyi Man Bai yang bertajuk Kau Ilhamku dan terus menyanyi melayan perasaan. Tiba-tiba, aku terasa ada orang berjalan dibelakangku. Bila aku menoleh, aku lihat Lila bersama kawannya, Siti Fairuz merangkap kawanku juga , sudah ada berdekatan denganku. Beliau menyuruh aku meneruskan nyanyianku kerana sangat sedap didengar dan merupakan lagu kegemarannya. Aku pun terus menyanyi sambil memintanya bernyanyi sekali denganku. Selepas kami semua menyanyi beberapa buah lagu, aku menyuruh mereka tidur kerana tidak mahu orang mengata sesuatu yang tidak enak didengar. Ini kerana, pada waktu itu cuma aku dan temanku , dan dia bersama temannya . Dua lelaki , dua perempuan . Selepas mengucapkan selamat malam, Lila dan Fairuz bergegas menuju ke khemah mereka. Jam pun sudah hampir pukul tiga. Aku mengarahkan kawanku agar mengejut teman lain bagi meneruskan tugasan berjaga.

Selepas perkhemahan itu, bermula lah kisah aku dan dia. Bila terserempak dengannya, aku pun bertegur seperti biasa dengan menggunakan kata ganti nama seperti aku dan engkau. Lila meminta agar aku menggunakan kata ganti nama seperti saya dan awak dengan alasan bahawa dia mahu menjadi budak baik. Pada mulanya aku tidak mempunyai apa-apa perasaan pun padanya kerana waktu itu aku masih mentah untuk mengenal perasaan cinta dan sayang. Tetapi selepas segala tingkah lakunya, perbuatan baiknya pada diriku, membuatkan aku terasa disayangi dan timbul perasaan sayang yang luar biasa kepadanya. Ya, mungkin itu lah perasaan yang dipanggil cinta. Aku diberikan surat oleh temanku. Lila yang menulisnya dan memberitahu bahawa dia minat kepadaku. Pada masa yang sama juga, aku pun sudah meminatinya kerana sikapnya yang mengambil berat tentangku dan selalu mahu berjumpaku di sekolah.

Selepas aku menerima cinta yang hadir dalam hidupku untuknya, aku rasakan hidupku cukup sempurna. Masih teringat lagi sewaktu aku hendak mengikuti rombongan ke Thailand, Lila terasa amat berat hati kerana risau tidak dapat menghubungiku sewaktu di sana nanti. Ah, aku terasa sangat bahagia ketika itu. Setahun sudah hubunganku dengan Lila, dan aku tahu aku lah yang selalu membuat hal dan masalah. Aku cemburu buta. Cemburu kerana kekasih yang aku cintai itu terlalu digilai oleh teman-temanku yang lain. Tak terkecuali juga pelajar lelaki tingkatan lima. Setiap pergerakan Lila, aku intip, setiap percakapannya aku teliti, setiap perbuatannya seolah-olah aku yang mengawalnya. Aku memintanya jangan bercakap dengan orang itu, orang ini dan semua lelaki yang aku anggapkan seperti pesaingku bagi memiliki Lila. Cemburu buta, kongkongan, itulah punca retaknya cinta aku dengan Lila. Sewaktu berada di tingkatan lima, Lila menyuarakan niat untuk berpisah denganku. Ya Allah, terasa seolah-olah aku jatuh dari tempat yang tinggi tanpa sampai ke penghujungnya. Dia memulangkan segala pemberianku padanya selama perhubungan kami. Selesai sesi persekolahan, langkahku longlai menuju ke rumah. Tanpa menjenguk makanan yang dimasak oleh ibuku di dapur, aku berlari menuju ke bilik dan menangis bagai orang hilang akal. Menangis semahu-mahunya. Ibuku memanggil dari luar bilik, dan aku cuma memberitahu bahawa aku sedang serabut.

Ramai teman memberi sokongan moral agar aku tidak terikut dengan perasaanku. Hampir 8 bulan aku terpaksa bertungkus lumus bagi melupakannya kerana dia belajar di sekolah yang sama. Hari, bulan dan tahun berganti, aku pun sudah pulih dengan kedukaan itu. Sudah pun menjangkau 9 tahun umur memori cinta itu. Kini Lila sudah pun berkahwin dan sudah mempunyai anak yang sangat comel . Aku pun turut berkongsi bahagia untuknya. Walaupun telah banyak cinta yang ku temui selama ini, tak mungkin dapat aku lupakan cinta pertama bersama dengan Ros Azlila . Dan dulu, aku pernah berjanji bahawa aku akan tetap mengingatinya.

Izzy


Keliru,Bimbang

Dari malam tadi aku runsing memikirkan apa yang patut aku buat. Yuran semester ni perlu dibayar habis sebelum menjelang final exam. Final exam pula bulan Oktober. Total yuran untuk semester ni kesemuanya RM3350 dan aku baru mampu bayar RM1000 untuk melayakkan aku ambil Mid semester exam yang lalu. Pinjaman? Memang aku dah apply untuk pinjaman MARA tapi result untuk pinjaman tu keluar selepas Final Exam ni. Macam mana nak cari duit nak bayar yuran MSU yang bergunung tinggi? Serabut aku dibuatnya. Tambahan lagi, semester ni aku tak dapat menjamin keputusan yang melebihi paras sederhana. Kalau pun aku dapat gadai bermacam barang untuk bayar tunggakan yuran untuk semester ni, aku tak yakin aku dapat menduduki tempat untuk bersaing merebut tempat dalam pinjaman MARA. MARA cuma melayakkan 10 orang dari ribuan pelajar Diploma di MSU. Kalau aku dapat peluang sebanyak 1% sekalipun, aku dah cukup bertuah . Tapi , benda yang mustahil tak mungkin berlaku. Abah pernah berkata, untuk semester pertama dan perbelanjaan bulanan, dia mampu lagi untuk menampungnya. Tetapi untuk yuran semester yang akan datang, terpaksa berharap kepada pinjaman .

Parent aku sudah tentu akan sedih bila dengar berita ni. Tapi aku pun lagi sedih. Masalah ni ada yang datang dari aku dan ada yang datang dari keadaan sekeliling. Dulu pernah berlajar di UNISEL, dan aku kecundang juga. Kali ni di MSU, peratusan yang agak tinggi untuk kecundang juga. Mungkin bukan nasib aku untuk bina kehidupan melalui pelajaran. Memang orang kata, nasib kita, kita mampu mengubahnya. Tapi, aku tak mampu ubah melalui pelajaran. Mungkin dengan cara lain. Aku dah tak nak lagi menyusahkan kedua orang tua ku yang terpaksa bertungkus lumus bergadai itu dan ini demi mendapatkan wang untuk aku mendapatkan result yang tak seberapa. Aku dah bercerita masalah ni dengan kawan-kawan yang aku anggap seperti adik-adik aku. Ada yang memberi cadangan untuk menunda pelajaran dan ada yang memberi cadangan agar aku berhenti dan bekerja demi masa depan. Ada juga yang ingin membantu dari segi kewangan, dan aku telah menolak nya mentah-mentah. Aku tak mahu lagi menyimpan hutang keliling pinggang . Mungkin aku terpaksa berhenti dari MSU.

Dari dulu sampai sekarang, aku dah terlalu banyak menyusahkan kedua orang tuaku. Kalau nak dibandingkan dengan hasil kerja yang dah diberikan pada mereka, memang tak mampu nak tandingi. Tapi kali ni, aku dah nekad akan mendapatkan balik kepercayaan mereka kepada aku di mana aku boleh bina kehidupan aku tanpa pelajaran yang tinggi. Umur pun dah agak lewat kalau nak difikirkan. Belajar, kemudian berhenti , kemudian bekerja selama 3 tahun lebih, kemudian sambung belajar lagi. Sampai bila aku nak teruskan pusingan ni. Aku rasa memang pelajaran, tak serasi dengan aku yang cuma hangat-hangat tahi ayam ni saja. Tapi aku masih runsing, runsing bagaimana cara untuk aku ceritakan semua ni kepada kedua orang tua ku. Air mata, kecewa, marah, hampa, kesemua perasaan itu pasti akan menjadi objek tambahan sewaktu perbincangan aku dengan mereka. Aku takut, aku bimbang, dan kalau keadaan betul-betul memaksa, aku akan keluar dari rumah dan takkan pulang selagi belum capai kejayaan membina kehidupan sendiri.

Izzy

Raya 2011

Bersama keluarga
Raya tahun ni aku rasakan macam dah makin kurang meriah kalau nak dibandingkan dengan suasana raya 10~15 tahun yang lepas. Budak-budak dah semakin malu nak menjenguk rumah-rumah meraih duit raya, meminta maaf sesama orang yang dikenali. Bagi aku, budak-budak sekarang macam dah tak perlukan tradisi lama tu lagi. Aku masih teringat lagi zaman aku berumur 7~10 tahun di mana aku memang beraya sakan dengan abang aku dan 2 orang saudara aku, Firdaus dan Iskandar. Kami semua gila, satu kepala. Hahaha, memang kelakar bila diingat semula. Malam sebelum hari raya, kami bermain mercun, bunga api, meriam, mercun plug, dan macam-macam lagi. Memang hingai bingar rumah kami. Tempat tinggal kami memang berdekatan, semua adik beradik nenekku tinggal cukup dekat. Kalau buka tingkap, dah memang boleh nampak apa yang dibuat dek nenek saudaraku di dapur. Tapi apa yang tak boleh aku lupakan ialah sewaktu aku beraya sakan bersama yang tersayang. Waktu tu, lepas habis Solat Hari Raya Aildilfitri, dan sesudah meminta maaf dengan orang tua, tanpa menjenguk kuih-kuih raya, kami berempat teruskan misi mencapai RM100 dalam satu hari. Bermula dari rumah di hadapan jalan, dan terus menerus menuju ke depan. Boleh dikatakan, tiada satu rumah pun miss dari taklukan kami. Setiap kali kami beraya dirumah orang yang tak dikenali, hampir semua tuan rumah bertanya " Kau anak siapa ?" Masing-masing pun mula la perkenalkan diri. Kalau boleh di "copy" and "paste" setiap dialog kami, dah tentu kami akan gunakannya sepanjang hari kerana setiap rumah pasti bertanyakan begitu. Jawapan kami cukup senang iaitu "Kami anak cucu Misah. Alah yang duduk kat Kampung Pulau tuuuuu".

Nak dijadikan cerita, setelah banyak rumah yang kami 'Invade', ada satu rumah ni yang takut kami nak datang. Iaitu rumah pengajar kami mengaji. Kami memanggilnya Tok Wak. Tok Wak memang seorang yang cukup garang. Kalau terperangkap antara Tok Wak dan harimau yang sedang lapar, kami sanggup pilih harimau dan bertarung dengan harimau daripada bertarung dengan Tok Wak. Hari itu, kami nekad untuk beraya di rumahnya kerana merasakan banyak juga dosa yang kami lakukan dengan mengutuknya dari belakang. 'Assalamualaikum!' Firdaus memberi salam. Tiada jawapan. Kami berpandangan sesama sendiri . Kali ni, dengan nada yang agak kuat, aku pula memberi salam. 'Assalamualaikum Tok Wak! Kami datang nak beraya!'. Sayup dari dalam rumah, terdengar orang menjawab salam tetapi dengan nada yang agak kelam. 'Waalaikumsalam. Ha budak-budak, masuk lah!'. Selesai makan dengan beradab dan sopan, kami meminta izin untuk beredar. Sekali toleh, terasa macam nak tercabut jantung bila nampak Tok Wak tengah duduk sambil memegang sampul duit raya dan rotan 'legend' di tangan kirinya. Tok Wak ketawa berdekah-dekah. Dipanggilnya kami semua mengadap, dengan perlahan dihulurkan sampul itu dan bersalam. Tok Wak, Tok Wak, buat cemas kami saja. Ini lah Tok Wak. Setiap kali mengajar, rotan sebesar ibu jari orang dewasa sudah tentu di tangannya. Tapi yang seronoknya, setiap juzu' yang kami habiskan, pasti mendapat RM0.50.

Ada lagi kenangan beraya di mana, ada lah satu rumah ni, baru hendak kami memberi salam, sudah terpampang tulisan tangan berwarna merah bertulis "Jurujual dilarang masuk, apatah lagi budak-budak nak datang beraya". Kesemua kami berpandangan, lantas menuju ke rumah sebelah dengan perasaan hampa. Ada juga rumah di mana, salam kami dijawab dengan nyalakan anjing yang cukup besar. Setelah hampir semua rumah kami jelajahi, dan sewaktu hendak pulang ke rumah, aku, Firdaus, Iskandar dan abangku sibuk mengira duit raya, mataku terpandang sesuatu di kaki. "Eh , ini dompet." Bisikku. Diam-diam ku biarkan mereka berlalu kedepan dan lantas aku ambil dompet tu. IC, kad bank, semua ada. Dan sebagai bonus, RM150 ada didalam nya. Waktu tu aku baru berusia 9 tahun. Mana tak gembira bila jumpa duit sebanyak tu. Aku tarik 3 not RM50 itu dan terus memasukkan dalam poketku. Dompet itu? Ke longkang tempatnya. Sampai dirumah nenek, kami mengeluarkan duit untuk mengira. Kuantiti hampir sama kesemuanya kerana ada antara kami yang sempat membeli ais krim sewaktu beraya. Aku diamkan duit yang telah ku rembat dan semua tak tahu tentang tu.

Kenangan dan suasana raya aku di waktu kecil memang jauh berbeza dengan zaman sekarang. Kanak-kanak pun lebih suka beraya dengan keluarga dari keluar beraya bersama rakan-rakan. Ah, aku rindu betul dengan zaman tu. Boleh tak kalau aku beraya macam tu semula sekarang ni? Umur dah 25 tahun, tapi masih memberi salam bersama poket yang kosong menunggu dipenuhi dengan duit raya.

Izzy